KELESUAN MENTAL

 

Pada hari ini saya kembali lagi dengan merasa lelah, penat dan ingin merehatkan diri sahaja tanpa melakukan apa-apa.Bahkan, rasa tidur itu seperti tiada penghujung tetapi masih tidak mampu memberikan kembali kekuatan dan tenaga saya untuk menjalani kehidupan seharian.Kejadian seperti ini berulang-ulang kembali terjadi apabila berlaku sesuatu yang tidak memenuhi hasrat dan keinginan dalam diri.

Saya sering kali bertanyakan apakah yang menjadi kepada punca-punca permasalahan yang dialami saya ini.Mengapa saya sering kali mengalami kelelahan tanpa melakukan apa-apa?Apakah itu satu jenis penyakit?

KELESUAN MENTAL SEBAGAI MASALAH KESIHATAN MENTAL

Pada masa kini, orang ramai lebih mudah mendapat akses kepada pelbagai info dan maklumat di hujung jari dalam masa yang singkat tanpa perlu membuang waktu yang panjang untuk mencari info-info berkaitan sesuatu perkara.Penggunaan teknologi Artificial Inteligence (AI) di era teknologi digital ini lebih memberikan kesan di dalam penyebaran-penyebaran maklumat yang pada masa sebelumnya adalah terhad perolehan kepada sesuatu maklumat dan info akan sesuatu perkara.Jadi, Mental Burnout/Kelesuan Mental ini bukanlah perkara yang baru diketahui tetapi sudah diketahui oleh pelbagai lapisan masyarakat kita.

Maslach dan Jackson (1986) telah mendefinisikan burnout sebagai sindrom psikologi yang boleh berlaku di kalangan pekerja yang melakukan "kerja orang" dalam beberapa jenis. Menurut penulis, burnout terdiri daripada perasaan keletihan emosi (tenaga kehabisan atau kehabisan sumber emosi), depersonalisasi (negatif, sikap sinis terhadap penerima perkhidmatan atau penjagaan seseorang), dan berkurangan pencapaian peribadi kecenderungan untuk menilai kerja sendiri dengan penerima tidak mencukupi)

Kelesuan mental atau lebih dikenali sebagai mental burnout adalah merujuk kepada seseorang yang merasa penat dari segi emosi dan mungkin berfaktor dari stres, situasi yang memerlukan kita bertindak di dalam penyelesaian masalah yang berpanjangan , menerima berita yang tidak pernah didengar , dan pelbagai lagi situasi yang memberikan tekanan dan desakan.Di dalam situasi ini, otak kita memproses dan mentafsir tanpa henti yang menyebabkan kita sentiasa dalam keadaan sedar walaupun dalam masa kita sedang berehat.

Pada pandangan peribadi saya sendiri, kelesuan mental ini lebih cenderung berlaku kepada generasi pada masa ini saya sebut sebagai Generasi B berbanding generasi terdahulu saya sebut sebagai Generasi A.Pelbagai faktor-faktor penyumbang kepada isu ini seperti tekanan sosial , ekonomi dan isu-isu global yang mencabar ditempuhi oleh generasi B berbanding zaman yang dilalui oleh Generasi A.Peningkatan kos sara hidup memberikan tekanan kepada ekonomi, perkembangan kemajuan teknologi mengubah landskap sosial dan peperangan diantara negara luar memberikan kesan tidak langsung kepada fizikal dan mental.

Pada dasarnya, stigma masyarakat hanya memahami apabila disebut berkaitan masalah  kesihatan adalah berupa kecederaan , sensasi yang di alami oleh fizikal dan nyata serta perlu mengambil ubat-ubat untuk pulih.Namun demikian, masalah kesihatan yang tidak kelihatan secara nyata juga perlu dititikberatkan kerana tanpa kesihatan emosi dan fizikal yang seimbang akan mempengaruhi proses menjalani kehidupan secara sihat.

Menurut Yusof, F., Kadir, N. B. Y. A., Zakaria, S. M., & Malik, N. (2022) World Health Organization juga menyatakan kesihatan adalah bukan hanya sekadar bebas dari penyakit tetapi keadaan fizikal, mental dan emosi yang sejahtera. Manakala, Dasar Kesihatan Mental (2012) pula menjelaskan kesihatan mental sebagai individu, kelompok dan persekitaran mampu untuk berinteraksi antara satu sama lain bagi mempromosikan kesejahteraan subjektif secara optimum dan penggunaan keupayaan kognitif, efektif dan perhubungan ke arah pencapaian matlamat individu dan kumpulan. Oleh yang demikian, setiap individu perlu menjaga kesihatan mental bagi membolehkan mereka menghadapi situasi menekan dengan tenang dan positif. Namun, sekiranya kesihatan mental terjejas, seseorang itu akan berhadapan dengan suatu keadaan yang dipanggil maladaptasi. Mereka akan mengalami kesukaran berfikir dan membuat keputusan yang mudah, cepat terasa dan beremosi dengan orang sekeliling.

Saya rasa ramai akan bersetuju jika saya menyatakan masyarakat masih gagal menerima dan memahami isu kesihatan mental.

Kesihatan mental merujuk kepada kesejahteraan mental semua orang namun penyakit mental merujuk kepada penyakit mental yang didiagnosis oleh pakar dan memberi kesan kepada pemikiran dan tingkah laku seperti kemurungan, kecelaruan bipolar, kecelaruan obesifkompulsif (OCD), skizofrenia, dan kecelaruan personaliti. Pakar psikologi membahagikan 4 sub-kumpulan kesihatan mental iaitu Mekar (flourishing) bermaksud tiada penyakit mental dan kesihatan mental tinggi, Lesu (Languishing) bermaksud tiada penyakit mental tetapi kesihatan mental rendah, merosot (floundering) iaitu ada penyakit mental dan kesihatan mental rendah dan bergelut (struggling) bermaksud ada penyakit mental tetapi kesihatan mental tinggi. (Sharil, S., Abdullah, S. N. F., & Rembau)

Mereka yang saya maksudkan termasuk pesakit yang mempunyai masalah kesihatan mental dan orang-orang di sekeliling mereka.Mereka sendiri tidak memahami apa itu masalah mental dan enggan menerima mereka mempunyai kesihatan mental.Mereka akan terus merujuk masalah mental sebagai  “SAKIT GILA” “SAKIT MENTAL” “ORANG GILA”

“ Dia ada masalah keluarga sebab itu dia ada masalah mental “

“ Dia kerja tanpa henti sebab itu dia tertekan “

“ Dia terlalu berharap sebab itu dia kecewa.Pada akhirnya dia mengalami masalah mental”

Dan pelbagai lagi senario yang berlaku hanya kerana mereka gagal memahami apa itu masalah mental  dan kenapa isu itu wujud.Persepsi yang ditimbulkan adalah perkara yang dilihat mereka tanpa membuat penelitian dan pemahaman menyeluruh kenapa isu tersebut wujud.

PANDANGAN PERIBADI

Pada awalnya saya juga memandang perkara ini sebegitu, namun setelah saya sendiri mengalami dan belajar , masalah mental ini adalah perkara yang telah lama disimpan dan dipendam.Apabila tahap kemampuan kita untuk bertahan dan menerima tekanan semakin rapuh , dengan erti kata lain mencapai batas kemampuan dan pada akhirnya berlaku kepada keruntuhan tembok pertahanan tersebut.Apabila seseorang tersebut telah melepasi batasnya, maka berlakulah perubahan-perubahan pada dirinya dari segi emosi seperti hilang semangat , perubahan emosi mendadak, penampilan dan hubungan sosial  juga berubah.Orang yang sebelumnya adalah ceria menjadi pendiam, pemarah, mudah tersinggung, menyendiri.

Saya mempunyai pandangan dimana, proses untuk seseorang itu berubah daripada ceria kepada yang dialami selepas mempunyai masalah mental mengambil masa yang panjang dan tidak berlaku sekelip mata.Di dalam proses yang panjang ini mungkin berlaku stres yang disimpan bertahun-tahun, ataupun mungkin berlaku trauma pada masa kanak-kanak ,dan mungkin personaliti pesakit yang dibentuk melalui acuan sosial sehingga kepada memberi kesan pada masa kehidupan masa kini.Oleh demikian, di dalam memahami pesakit yang mempunyai masalah mental ini perlu faham akan satu perkara, tidak hanya melihat apa yang berlaku pada diri dia masa ini tetapi perlu melihat kepada yang yang dialaminya sebelum ini.Saya sangat tidak setuju dengan penggunaan ayat “SABAR” diguna pakai untuk memujuk atau meredakan perasaan mereka kerana bagi saya mereka yang mengalami masalah ini adalah orang yang telah habis kesabarannya sehingga mereka sudah tidak mengharap apa-apa.Sebenarnya, mereka memerlukan orang di samping untuk menemani mereka di dalam situasi terburuk mereka masa itu.Cukup dengan ayat “ saya ada di sini untuk kamu , maka kamu harus terus bertahan dalam mehadapi semua dugaan”.Berikan semangat kepada mereka untuk teruskan hidup di samping memberi mereka kepastian masih ada yang berada  bersama mereka.Sokongan moral ini sangat penting bagi membantu mereka untuk bertahan sekaligus pulih selain daripada pengambilan ubat-ubatan yang telah diberikan oleh pakar perubatan.

Di akhir sekali, kesihatan mental ini harus menjadi fokus utama selain fokus kepada kesihatan fizikal.Perkembangan dunia yang mencabar memberikan tekanan secara berterusan mengikis tahap kemampuan bertahan generasi pada masa ini sedikit demi sedikit.Tanpa kita sedar, orang-orang di sekeliling kita mungkin ada yang mengalami isu ini, janganlah kita mengabaikan mereka dan bantulah mereka untuk mencari kekuatan kembali.

 

 

Reference

Yusof, F., Kadir, N. B. Y. A., Zakaria, S. M., & Malik, N. (2022). KAJIAN LITERATUR SISTEMATIK KESIHATAN MENTAL DI MALAYSIA. Jurnal'Ulwan7(2), 260-270.

Demerouti, E., Bakker, A., Nachreiner, F., & Ebbinghaus, M. (2002). From mental strain to burnout. European journal of work and organizational psychology11(4), 423-441.

Sharil, S., Abdullah, S. N. F., & Rembau, U. K. PENAT: BAGAIMANA MENGURUS EMOSI, TENAGA DAN TEKANAN DALAM.

Comments

Popular posts from this blog

Perang Di Dalam Diri